PAS Melaka mendesak Menteri Kesihatan, Chua Soi Lek meletakkan jawatan serta merta kerana terlibat dengan video seks seperti yang dilaporkan semalam.Chua Soi Lek yang mengaku sebagai lelaki yang dilihat melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di dalam video itu mesti meletakkan jawatan demi maruah kerajaan dan integriti kabinet Malaysia.
PAS Melaka melihat bahawa isu ini bukan sekadar soal konspirasi politik, tetapi ia juga melibatkan soal intergriti dan etika beliau sebagai seorang wakil rakyat bertaraf menteri kanan serta juga pimpinan kanan MCA yang mewakili kaum Cina.Walaupun beliau bukanlah seorang muslim, namun apa yang dilakukannya, iaitu melakukan hubungan seks rambang dengan wanita (yang disifatkan sebagai kawan baiknya) bukan isteri beliau adalah diluar dari budaya kita rakyat Malaysia dan kaum cina sendiri.
Budaya menyimpan perempuan simpanan tidak wajar dilakukan demi nama baik kerajaan Malaysia yang kononnya terkenal dengan Islam Hadhari.Jika di negara lain pemimpinnya awal-awal lagi meletak jawatan kerana pendedahan skandal seks, mengapa pula Soi Lek berdegil tidak mahu berbuat demikian.
Pengekalan beliau sebagai menteri sudah tentu akan mencacatkan imej negara di mata dunia malah mungkin masyarakat Malaysia akan dilabel sebagai masyarakat yang rosak akhlaqnya disebabkan perangai pemimpinnya sedemikian.
Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir bertindak memecat timbalannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim atas alasan melakukan seks luar tabii walaupun ia akhirnya mahkamah membuktikan Anwar tidak bersalah.
Adakah Chua ingin menanti dipecat oleh kerajaan dan MCA baru beliau akur. Ini sudah tentu akan menjejaskan nama baik negara kita.Jadi dalam kes ini Chua wajib meletak jawatan bagi menjaga nama baik negara dan juga organisasi yang dipimpinnya.
Jika beliau enggan meletak jawatan, maka adalah wajib bagi Perdana Menteri, Abdullah Badawi memecatnya.Oleh itu, sudah tiba masanya untuk beliau berfikir untuk kepentingan semua dan mengundurkan diri secara terhormat sebelum rakyat turun ke jalan raya untuk mendesak beliau berundur secara terhina.Soal ianya konspirasi atau tidak, itu adalah soal peribadi beliau.
Fakta yang jelas dan nyata kini, beliau sendiri telah mengakui kecurangan beliau kepada isteri, keluarga, penyokong dan 27 juta rakyat negara ini dan permohonan maaf beliau akan dilihat lebih ikhlas jika beliau segera berundur dari Kerajaan.
Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka
sofiwahab@gmail.com
Wednesday, January 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment